Konsep keadilan Islam

nik16.jpg

rencana

Konsep keadilan Islam

DI dalam Islam keadilan didefinisikan sebagai ‘meletakkan sesuatu pada tempat yang sepatutnya’. Definisi ini menggambarkan bahawa keadilan bukan sahaja merupakan tuntutan agama malah ia juga adalah satu tuntutan moral yang perlu ditunaikan. Meletakkan sesuatu pada tempatnya yang sesuai adalah suatu konsep yang diterima pakai oleh manusia tanpa mengira bangsa dan agama serta warna kulit. Di dalam Islam, keadilan adalah suatu yang perlu diamalkan oleh setiap Muslim. Di dalam al-Quran Allah berfirman:Dan apabila kamu menjalankan hukuman di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil” – al-Nisa: 58.Ayat ini pada zahirnya lebih menumpukan kepada golongan pemerintah ataupun mereka yang mempunyai kuasa kerana golongan inilah yang banyak sekali terlibat di dalam menjatuhkan sesuatu hukuman atau keputusan yang berkaitan dengan kebajikan rakyat jelata. Keadilan di dalam konteks ini bermaksud bahawa para pemerintah mestilah menjalankan segala tanggungjawab yang mereka pikul dengan penuh amanah dan tanggungjawab.Keadilan mestilah diberikan kepada setiap rakyat tanpa mengira kedudukan mereka. Ini kerana setiap rakyat berada di bawah tanggungjawab pemerintah dan tanggungjawab ini akan dipersoalkan oleh Allah di hari akhirat nanti. Di dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda yang bermaksud: ”Setiap orang di antara kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipersoalkan tentang orang yang berada di bawah jagaan mereka.”Berdasarkan kepada hadis ini, kita dapat melihat bahawa tanggungjawab melakukan keadilan bukan sahaja kepada pemerintah bahkan kepada setiap individu. Ibu bapa mesti berlaku adil terhadap anak-anak mereka. Mereka perlu diberi layanan yang sama rata tanpa membezakan mereka.Suami mesti berlaku adil terhadap isteri mereka. Jika mereka mempunyai lebih daripada satu, maka keadilan adalah suatu perkara yang tidak boleh diabaikan. Keadilan di dalam hal ini adalah bermaksud keadilan dari sudut nafkah zahir dan batin. Namun keadilan di dalam sudut perasaan serta kasih sayang tidak termasuk di dalam tuntutan keadilan kerana perkara seumpama ini tidak mungkin dapat dipenuhi kerana fitrah manusia sememangnya begitu. Kerana sifat-sifat tertentu yang dimiliki, isteri pertama mungkin lebih dikasihi daripada isteri kedua ataupun sebaliknya. Di dalam konteks ini Allah berfirman: ”Kamu pasti tidak akan mampu untuk berlaku adil terhadap isteri-isteri kamu meskipun kamu benar-benar mahu melakukannya.” al-Nisa 29.Namun jangan pula kerana kasih sayang terhadap seseorang isteri membawa kepada ketidakadilan terhadap isteri yang lain. Majikan juga perlu berlaku adil kepada semua pekerja mereka. Mereka tidak seharusnya menjadikan ikatan persaudaraan, persahabatan atau kenalan sebagai jalan mudah untuk memberi sokongan untuk kenaikan pangkat atau sebagainya tanpa mengira kualiti kerja serta disiplin yang ditunjukkan. Sikap seumpama ini akan melahirkan rasa tidak senang di kalangan pekerja lain dan ini akan membawa kepada ketidakikhlasan mereka di dalam menjalankan kerja yang dipertanggungjawabkan. Akhirnya produktiviti akan berkurangan, pekerja akan suka ‘curi tulang’ dengan alasan bahawa kesungguhan mereka di dalam kerja tidak akan membuahkan hasil yang diharapkan dan akhirnya negara juga akan mengalami kesukaran untuk membangun dengan lebih pesat lagi. Di dalam kegawatan ekonomi yang melanda negara seperti sekarang ini, semua pihak seharusnya menjauhkan diri daripada melakukan suatu amalan yang boleh membawa kepada masalah sama ada kecil atau pun besar. Kita seharusnya menggembleng tenaga untuk menyelesaikan segala masalah yang ada dan bukan untuk menambahkan lagi masalah yang sedia ada.Keadilan di dalam Islam juga dapat dilihat di dalam melaksanakan hukuman seperti hudud dan qisas. Di mana setiap tuduhan hendaklah disandarkan kepada shahadah (persaksian). Persaksian pula bukan daripada sebarang orang. Mereka yang boleh menjadi saksi adalah mereka yang adil iaitu mereka yang tidak melakukan dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil. Di dalam al-Quran Allah berfirman: ”Maka ambillah dua orang saksi yang adil daripada kalangan kamu (orang Mukmin)” – al-Talaq: 2.Tujuan arahan ini adalah jelas untuk melindungi mereka yang tertuduh agar tidak dianiayai oleh mereka yang tidak menyukai atau memusuhi mereka. Keadilan di dalam Islam adalah suatu tuntutan dan keadilan ini juga adalah merupakan salah satu dari ciri-ciri ketakwaan. Di dalam al-Quran Allah berfirman: ”Hendaklah kamu berlaku adil, kerana keadilan itu lebih hampir kepada ketakwaan” – al-Maidah: 8.

Lantaran itu jika keadilan ini dapat dilaksanakan oleh semua manusia, pastilah kehidupan kita di dunia ini akan menjadi lebih ceria dan bahagia, negara juga akan menjadi aman damai serta harmoni sepanjang masa.

* Dr. Nik Rahim Nik Wajis ialah Bekas Penolong Profesor, Kulliyah Undang-undang UIA dan bekas Kolumnis Utusan Malaysia di dalam Ruangan Bicara Syariah.

Artikel ini telah disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 24/07/1998

Dr Nik Rahim Nik Wajis kini adalalah Pengarah Urusan, Syihab Excellence Agency Sdn Bhd (Perunding Kewangan & Perundangan Islam). Sila layari: www.syihab.com untuk maklumat lanjut.

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s