Pentingnya sabar dalam kehidupan

nik16.jpg

rencana

Pentingnya sabar dalam kehidupan

KITA seringkali berhadapan dengan insiden-insiden di mana orang yang hampir dengan kita, isteri serta anak-anak, kaum keluarga, sahabat handai, jiran tetangga ditimpa malapetaka atau kesusahan. Di dalam keadaan yang seperti ini, kita kerapkali terdengar ucapan seperti ‘sabarlah, semua ini cubaan Tuhan’. Sememangnya amat mudah untuk menuturkan kata-kata tersebut kerana bukan kita yang mengalaminya. Mungkin kita bersimpati dengan mereka, namun simpati tidak boleh meringankan derita, kesedihan atau beban yang mereka tanggung. Bak kata pepatah ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’. Demikianlah betapa sukar untuk memiliki sifat sabar di dalam situasi yang benar-benar mencabar. Namun di saat inilah, keimanan kita benar-benar diuji.Sesungguhnya kesabaran tidak dapat dipisahkan daripada keimanan. Sabda Rasulullah s.a.w ”Sabar itu sebahagian daripada iman.” Sabar juga adalah satu sifat yang mesti dimiliki oleh setiap Muslim. Ini kerana bersabar itu adalah merupakan arahan daripada Allah, firman Allah: ”Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu bersabar dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu berjaya,” al-Imran: 200.Ayat ini selain daripada mengaitkan kesabaran dengan keimanan, ia juga dikaitkan dengan kejayaan.Jika kita lihat disekeliling kita, dan jika imbau sejarah silam, kita dapati bahawa tiada kejayaan yang mungkin dicapai tanpa kesabaran. Kesabaran bererti kita betah menahan penderitaan (kesakitan, kesusahan dan lain-lain), tidak lekas marah atau putus asa, tidak terburu-buru serta tenang. Demikian definisi sabar menurut Kamus Dewan. Kehidupan harian kita penuh dengan pelbagai kesusahan, kesakitan serta tekanan emosi dan mental. Sebagai bapa kita berhadapan dengan kerenah isteri dan anak-anak. Ada isteri yang suka berleter sebaik sahaja suami menjejakkan kaki di rumah. Leteran mungkin dikira sebagai ucapan ‘selamat pulang’ kepada suami yang kepenatan. Berhadapan pula dengan anak-anak yang mempunyai fiel yang berbagai-bagai. Ada yang suka menconteng dinding, ada yang suka mengusik adik-adiknya, ada yang suka menangis dan tidak kurang pula bertindak liar memusnahkan harta benda di rumah. Keadaan ini semua memerlukan tahap kesabaran yang amat tinggi. Suami yang hilang sabar mungkin akan memukul isteri dan isteri pula akan memukul anak-anak bagi melepaskan dendam yang membara terhadap suami. Akhirnya yang menderita ialah anak-anak yang tidak berdosa yang belum tahu erti kehidupan hakiki. Isteri juga mungkin mengalami keadaan yang sama dan semua ini memerlukan kesabaran.Ada di antara kita yang begitu penyabar di rumah, lemah lembut dengan anak dan isteri tetapi bertukar menjadi bengis dan tidak boleh mengawal marah sebaik sahaja berada di jalan raya. Memandu dengan laju, undang-undang serta pengguna jalan raya tidak diendahkan. Ada yang begitu angkuh bila memandu, bertolak ansur jauh sama sekali. Ada juga yang bengis di rumah dan lebih bengis apabila berada di jalan raya dan seterusnya ketika berada ditempat kerja. Pantang tersalah sedikit, maki hamun dihamburkan. Akibatnya berlakulah pertelingkahan di antara sesama pekerja, bermasam muka dan tidak boleh bekerjasama di dalam menyelesaikan satu-satu tanggungjawab yang diamanahkan. Akhirnya produktiviti sesuatu syarikat atau badan sama ada kerajaan atau swasta akan terbantut dan kita semua yang akan menanggung akibatnya.Jika kita sebagai seorang anggota tentera ataupun polis, sama ada yang berjawatan tetap ataupun sukarela, peringkat latihan merupakan saat yang paling kritikal yang perlukan kesabaran yang amat tinggi. Latihan fizikal serta tekanan dari sudut mental benar-benar menguji ketahanan setiap pelatih. hanya mereka yang mempunyai daya ketahanan serta kesabaran yang tinggi yang akan survive manakala yang lain akan ‘gugur’ sebelum ke medan juang yang sebenar. Setelah tamat latihan, tiba pula saat menjalankan tugas. Dikala ini tahaf kesabaran tinggi tetap diperlukan kerana ketika inilah para anggota akan berhadapan dengan berbagai situasi yang benar-benar mencabar. Daripada musuh-musuh yang sentiasa mencari peluang untuk menyerang sehinggalah kepada musuh yang sukar dilihat oleh mata kasar seperti rasuah dan penyelewengan. Ini semua memerlukan kesabaran agar tidak mudah tergoda dengan kenikmatan sementara demi menjaga keselamatan dan keharmonian negara.Jika kita sebagai seorang pelajar, sikap guru-guru yang tidak menyenangkan, kawan-kawan yang berbagai ragam, longgokan tugas yang membebankan di tambah pual dengan program kokurikulum yang bermacam-macam sememangnya menuntut kesabaran serta ketabahan. Memang jika diikutkan hati mati, jika diikutkan rasa binasa.Jadi di dalam segala keadaan, di mana sahaja kita berada, apa sahaja jawatan yang kita sandang, jenis apa kerja yang kita lakukan, semuanya memerlukan kesabaran di dalam erti kata yang sebenarnya. Jika kita dapat teguhkan hati, kuatkan semangat, jauhi sikap mudah berputus asa, tingkatkan tahaf kesabaran, jalan-jalan ke arah kejayaan pasti akan menjelma insyaAllah.

* Dr. Nik Rahim Nik Wajis ialah Bekas Penolong Profesor, Kulliyah Undang-undang UIA dan bekas Kolumnis Utusan Malaysia di dalam Ruangan Bicara Syariah.

Artikel ini telah disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 24/07/1998

Dr Nik Rahim Nik Wajis kini adalalah Pengarah Urusan, Syihab Excellence Agency Sdn Bhd (Perunding Kewangan & Perundangan Islam). Sila layari: www.syihab.com untuk maklumat lanjut.

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s