Salahkah Ibu Yang Mengandung?

Salahkah ibu mengandung?

Baru-baru ni ada kawan fb tag di wall saya satu video. Tak pasti pulak bila video clip yang dirakamkan menggunakan telefon bimbit itu dibuat.Dalam video clip tu dengan jelas mempertontonkan dua remaja melayu sedang berpelukan. Remaja perempuan merengek manja    sambil memeluk erat leaki yang kelihatan begitu bersahaja. Tiada emosi sedih atau hiba meskipun remaja perempuan kelihatan begitu hiba kerana kononnya akan ditinggalkan.

Adegan peluk memeluk cukup memualkan tekak mereka yang prihatin tentang batas-batas hukum syara’. Bagi yang tidak punyai pegangan ugama pula, clip video tadi diulang berulang kali seolah-olah menonton filem soft porn. Seronok dan menggairahkan. Tiada yang salah bagi mereka.

Jika adegan peluk memeluk pon sudah  cukup memualkan, apa lagi bila melihat adegan yang lebih hangat dan menghairahkan selepas itu. Jika di kaca tv adegan kucup mengucup ala ‘french kiss’ ni akan ditapis oleh lembaga penapisan filem, adegan ini tidak tertakluk kepada undang-undang tersebut. jadi sapa-sapa yang ada ekses ke internet tiada halangan untuk menontonnya bahkan ada yang menjadikannya sebagai ‘koleksi’.

Darah penulis memang tersirap ke tahap paling maksima. Hati memberontak. Perasaan membentak. anak siapakah ini? Yang pasti anak-anak melayu yang berugama Islam. Mana mak bapak mereka? Kenapa jadi begini? Kenapa begitu berani berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai? Kalau begini di hadapan umum, apakah yang mungkin terjadi di tempat yang lebih tersembunyi? Macam-macam soalan timbul. Terlaku sukar untuk menjawabnya.

Hari pertama video clip terpapar di wall saya, bertubi-tubi komentar dihamburkan. Marah, meluat, benci, meloyakan..perasaan bercampur baur. Apa yang penting saya melihat bahawa rupanya masih ramai yang masih sayang pada Islam dan nilai-nilai kemurniaanya. Sepanjang hari, tiada satu pun yang dengan jelas atau secara kiasan menyukai apa yang mereka lihat. Kutukan, maki hamun, kata-kata kebencian berhamburan keluar. Dari satu sudut, penulis melihatnya sebagai satu perkara yang positif.

Sahabat-sahabat fb ini mengambil langkah nahyu al munkar (mencegah kemungkaran) melalui lidah atau mata pena. Ini adalah satu manifestasi iman yang kuat. Namun persoalannya, teguran dan kemarahan itu ditujukan kepada siapa? Di dalam konsep nahyu al munkar, sesiapa yang melihat kemungkaran wajib untuk mencegahnya samada melalui perbuatan /kuasa, atau nasihat /teguran/amaran atau dengan hati. Nahyu al munkar melalui hati adalah kategori iman paling dhoif atau lemah. Jadi dalam konteks ini orang yang patut ditegur adalah mereka yang terlibat di dalam perbuatan munkar tersebut secara langsung. Hanya dengan cara itu kemungkaran dapat dibenteras.Penulis tidak mengatakan teguran atau komen di fb itu salah, cuma penulis berani mengatakan bahawa itu sahaja tidak cukup. Kita perlu lakukan lebih dari itu.

Kita perlu mengambil langkah yang lebih pro aktif dalam menangani masalah sosial yang semakin kronik dan menjahanamkan ini.Mungkin sukar untuk perbaiki suatu yang telah rosak namun ianya tidak mustahil bahkan usaha-usaha ke arah pembaik pulihan keadaan tersebut wajib diteruskan. Namun mencegah lebih baik dari merawat. Ibu bapa yang punyai anak lelaki atau perempuan perlu diajar, dibimbing, dilatih untuk mengenali segala jenis kemaksiatan dan akibatnya serta bagaimana kaedah untuk menjauhinya. Ajar mengenali maksiat bukan untuk buat maksiat. Ajar ilmu sihir bukan untuk amalkan ilmu sihir tetapi untuk menjauhkannya.Batasi pergaulan dari sejak umur kanak-kanak lagi dengan mereka yang bukan muhram. Jagai aurat. Jangan benarkan pendedahan aurat berlaku walaupun di kalangan keluarga yang hampir seperti sepupu dan sebagainya.Terapkan keimanan dan keyakinan pada akhirat. Dosa dan pahala. Syurga dan neraka. Bukan sekali, dua kali, tiga kali bahkan berkali-kali. Tidak boleh putus. Proses pendidkan dan pembentukan adalah satu proses yang amat panjang yang memerlukan kesungguhan, kesabaran, keinginan yang tinggi, keikhlasan, ketaqwaan dan keimanan.

Berbekalkan sifat-sifat ini, insya Allah tiap keluarga mampu melahirkan anak-anak dan zuriat yang soleh dan solehah. Apa yang berlaku sekarang diharap tidak berlaku pada masa yang akan datang. Jika hari ini perkara buruk itu menimpa keluarga dan anak orang lain, insya Allah ianya tidak berlaku kepada anak-anak kita. Memang tidak salah ibu mengandung, yang salah adalah bagaimana ibu yang mengandung dan melahirkan anak itu serta bapanya membesarkannya.
Wallahu a’lam bissawab.

ikhlas dari

Ustaz Dr Nik Rahim Nik Wajis, Gombak, Kuala Lumpur

23 Nov 2010

Nota:  Jemput sertai FaceBook saya

 

Kenapa perlu jadi hamba manusia?

 

Kenapa perlu jadi hamba manusia?

Salam ukhuwah untuk semua para sahabat dan pembaca yang dikasihi.

Sebut pasal hamba, semua orang tahu bahawa kita manusia ni dan juga makhluk atas dunia ni adalah hamba Allah. Bila sebut hamba Allah, maksudnya kita tidak boleh taat, patuh, tunduk, minta, harap kepada makhluk lebih dari kita mengharap, patuh, taat, tunduk dan pinta dari Allah yang Maha Pencipta. Tuhan sekelian makhluk. Pencipta Alam yang luas terbentang ini.

Namun sebagai insan yang memang pada fitrahnya sering ‘nisyan’ atau lupa maka tanda kita sedari tindak tanduk, amal perbuatan serta tingkah laku kita tidak selari dengan apa yang kita imani dan kita yakini.

Anak kadang-kadang jadi hamba kepada ibu bapa. kadangkala anak amat baik dan taat. Tapi malang ibu bapa pulak jalan di jalan yang sesat. Lalu setiap niat baik yang nak dibuat oleh anak disekat. Nak solat dilarang. Nak belajar mengaji dituduh nak ngorat pak aji. Nak tutup aurat dituduh ikut ajaran sesat. Lantas anak akur dan tunduk. Kononnya takut durhaka tapi sebenarnya sudah menjadi penderhaka no 1. Penderhaka kepada Tuhan yang Menciptanya. Maka jadilah anak hamba. Hamba kepada ibu dan bapanya.

Ibu bapa pon boleh jadi hamba pada anak-anak. Apakan tidak. Semua kehendak anak diikuti. Anak nak motor diberi motor. Lepas tu apa anak buat dengan motor, sikit pon tak amik tau. Anak usung anak dara orang merata tempat tak amik pusing. Bila anak orang dah bunting, baru pening. Nak nikahkah anak masih beringus. Mahu tak mahu, nikahkan juga untuk tutup aib dan malu pada jiran keliling. Anak nak baju ketat dan skirt singkat dilayannya. Konon ikut peredaran zaman. Takut dichop kolot dan punyai pemikiran cetek. Akhirnya anak punah ranah. Jadi bohsia jadi bohjan. Masa tu barulah nak cari jalan. Macamana nak ubah anak yang dah jadi macam anak syaitan.

Maka jadilah ibu bapa hamba pada anak-anak.

Suami pon boleh jadi hamba kepada isteri. Isteri melaram dengan lelaki lain tak kisah asal malam-malam balik rumah. Isteri keluar rumah pakaian dedah dan terbelah. Kat rumah pulak pakai macam penoreh getah. Suami tak kisah bahkan bangga kerana isteri masih bergetah. Akhirnya isteri dah tak kisah. Halal haram semua dia redah. akhirnya isteri beranak anak luar  nikah. Masa tu nangis air mata darah pon dah tak ada faedah. Maka jadilah suami hamba kepada isteri.

Isteri pon boleh jadi hamba kepada suami. Ramai isteri yang baik dah solehah. Taat suami tak kira betul salah. Tak ikut bimbang pulak nanti jadi nusyuz. Kemudian dicerai atau difasakh. Nak tutup aurat bila keluar rumah suami kata tak cantik dan tak vogue. Apa lagi kalau nak pegi dinner dengan orang besar-besar dan ahli-ahlo korporat. Mesti pakai cara modern. Biar nampak body yang ramping macam kerengga lepas bah. Biar bukak ‘jalur gemilang’ kerana itu nanti akan bukak lebih peluang. Sang isteri sedia jadi ‘korban’. Maka isteri pon jadi hamba kepada suaminya.

Dekianlah senario hidup sang hamba yang sepatutnya menghambakan diri kepada Allah yang Maha Pencipta…namun sering alpa dan leka..akhirnya tunduk dengan keindahan dan godaan dunia. Ayuh! Insaflah. Sedarlah. Hidup kita tidak akan selamat selagimana manusia dijadikan Tuhan. ketaatan dan pengabdian mutlak hanya kepada Dia. Yang Maha Kuasa. Kenapa perlu jadi hamba kepada manusia yang dhoif lagi hina sedangkan kita punya Allah yang Memiliki segalanya termasuk manusia yang kita agungi dan taati? Akhirnya sama-sama kita renungi sebuah hadith  Nabi s.a.w : ‘Tidak ada ketaatan kepada makhluk jika ianya membawa kemaksiatan kepada Al Khalik’ iaitu Allah.’

moga ada manafaatnya. Ameen.

Ikhlas

sahabatmu..

Ustaz Dr Nik Rahim.

www.drnikrahim.wordpress

Gombak

14 Zulhijjah 1431h = 21 Nov 2010

 

 

Biarlah Rahsia….

suatu ketika dulu, lagu ‘biarlah rahsia’ dendangan Datuk Siti Nurhaliza, memang amat popular dan sering menjadi siulan anak-anak muda. Bukan saja anak-anak muda, mak dan bapa kepada anak-anak muda tersebut juga turut sama bersiulan. Begitu hebat ‘aura’ Penyayi kelahiran Kuala Lipis Pahang ini di persada seni tanahair.

Namun bukan niat penulis untuk membuat ulasan atau komentar tentang penyayi popular tersebut. Nama dan lagu beliau dipinjamkan sekadar untuk menggambarkan bahawa manusia sememangnya suka berahsia. Bahkan kehidupan manusia sememangnya penuh misteri dan rahsia yang cuba disembunyikan. Kadangkala terdapat rahsia silam yang dikunci rapat dalam memori dan dikunci kemas agar rahsia tersebut tidak terbongkar. Kata pepatah Melayu, biar pecah di perut jangan pecah di mulut. Namun kadangkala, malang tidak berbau. Mulut tempayan boleh ditutup, tetapi mulut manusia sememangnya sukar ditutup. Meskipun rahsia kadangkala telah dimeterikan sebagai rahsia sulit, namun kerana sebab-sebab tertentu, akhirnya rahsia sudah tidak menjadi rahsia lagi.

Keaiban yang sekian lama tersimpan di lubuk rahsia akhirnya timbul di permukaan bumi. Keaiban terbuka, pekung di dada sudah jadi tontonan ramai. aib, malu, marah, kecewa. Perasaan bercampur baur. Lebih parah, akibat kebocoran rahsia, rumah tangga yang dibina sekian lama runtuh dan hancur berkecai. Kasih sayang yang dipupuk puluhan tahun, tiba-tiba pupus sekelip mata. Hilang kepercayaan, hancur keyakinan. Diri yang suatu ketika disanjung kini dilihat seperti sampah sarap yang tiada bernilai. Umpama najis di tepi longkang. Tersisih. Terpinggir.
Terlalu sukar untuk meneruskan hidup. Ke mana pergi diri umpama dicaci dimaki diperli. Terasa seolah semua insan di dunia ini telah menghidu keaiban diri. Lantas pergi jauh membawa diri. Di kala ini, jika iman tiada dihati, pujukan dan rayuan si iblis pasti dituruti. Ah! Kamu sudah tiada nilai lagi. Semua orang membenci kamu dan menyisihkan kamu. Ayuh bersama kami. Lupakan segala duka dihati. Ayuh berhibur. Minumlah minuman ajaib yang bisa hilangkan segala kerisauan di hati…akhirnya kecundang insan kerdil ini..hanya kerana ‘rahsianya’ bukan lagi rahsia.

Bertuahlah bagi orang yang beriman. Yang sabar menghadapi cobaan dan tohmahan. Semakin berat dugaan, semakin hampir ia kepada Tuhan. Biar hilang isteri. Hilang anak dan hilang orang tersayang, asal iman kekal tidak bergoncang. Syaitan pastinya jadi tidak karuan kerana hasrat untuk menggoda insan beriman gagal menjadi kenyataan.

Demikianlah hebatnya penangan rahsia dalam kehidupan makhluk bernama insan. Justeru itu Islam melarang keras umatnya mendedahkan rahsia dan keaiban orang lain apatah lagi mendedahkan keaiban diri sendiri. Hanya orang yang bodoh dan dungu serta tidak siuman atau telah hilang kewarasan yang akan melakukan demikian. Adalah berdoa seseorang yang melakukan kemaksiatn, kemudian menceritakan perilaku jijiknya kepada orang lain kerana manusia sebegini dianggap angkuh dan takabur dengan Allah yang menciptanya.

Justeru..jika anda punyai rahasia…simpanlah rahasia itu sebaik mungkin. Jika rahasia itu melibatkan dosa dan maksiat kepada Allah, bertubatlah..beristighfarlah kepada Allah..agar segala dosa lampau diampuni Allah…segala yang berlalu, biarlah berlalu…yang menjadi rahsia..biarlah rahsia!
Wassalam.

Hanya untuk renungan….moga ada manafaatnya insya Allah! Ameen!

Ikhlas -Ustaz Dr Nik Rahim Nik Wajis
Gombak, Kl.
13Zulhijjah 1431h= 19 nov 2010

Jenayah: Adakah ada jalan penyelesaiannya? Bahagian 2

Kenapa Manusia Melakukan Jenayah?

Secara umum boleh dikatakan bahawa kurangnya pendidikan ugama adalah punca utama kenapa se seorang itu melakukan jenayah. Mungkin juga ada yang menolak pandangan ini dan mengatakan bahawa didikan ugama tidak mampu mengawal manusia dari melakukan jenayah dengan membawa banyak contoh-contoh seperti imam yang melakukan perzinaan, para sarjana dalam bidang agama terlibat dengan rasuah, para hakim mahkamah syariah yang terlibat dengan penyalahgunaan kuasa, para ustaz yang terlibat dengan penipuan dan banyak lagi. Justeru mereka menyatakan bahawa pendidikan ugama sememangnya tidak mampu menghalang seseorang itu dari melakukan jenayah.

Bagi menjawab persoalan tersebut, kita perlu terlebih dahulu memahami apakah yang dimaksudkan dengan pendidikan ugama? Pendidikan ugama yang dimaksudkan bukan hanya memiliki ilmu keugamaan, tahu selok belok hukum agama termasuk halal dan haram, syurga dan neraka dan lain-lain perkara yang berkaitan. Yang dimaksudkan dengan pendidikan ugama di sini adalah menghayati dan melaksanakan hukum-hukum agama dengan penuh ketaatan kepada Allah dan bukan semata-semata memiliki ilmu pengentahuan tanpa sebarang perlaksanaan.

Ilmu pengentahuan tidak lebih dari ‘maklumat’ tidak kira samada ilmu ukhrawi (keakhiratan) atau ilmu duniyawi (keduniaan). Mengentahui tentang syurga tidak menjamin seseorang itu melaksanakan tugasnya sebagai se orang hamba yang taat sehinggalah dia benar-benar meyakini tentang kewujudan syurga serta nikmat yang disediakan untuk mereka yang soleh. Begitu juga mengentahui maklumat tentang neraka serta azab yang dahsyat di dalamnya tidak menjamin seseorang itu menjauhkan dirinya dari perkara-perkara yang diharamkan dan sekaligus menjauhkannya dari azab neraka sehinggalah dia benar-benar meyakininya. Bila wujudnya keyakinan yang mendalam tentang syurga, maka seseorang itu akan bersungguh-sungguh beramal bagi memperolehi nikmat syurga tersebut. Begitu juga jika seseorang itu benar-benar yakin tentang azab neraka, pastinya dia akan berusaha bersungguh-sungguh mengelakkan dirinya dari terjerumus ke kancah dosa dan noda yang membawanya kepada neraka.

Cuma masalahnya sekarang kebanyakan mereka yang terlibat dengan kes-kes jenayah dari golongan yang digelar sebagai mereka yang berugama adalah mereka ini tidak memahami dan tidak menghayati prinsip-prinsip ugama yang sebenar dan yang lebih penting mereka itu tidak meyakini dengan keyakinan yang sebenar tentang syurga dan neraka dan balasan di hari akhirat. Bila tiada keyakinan pastinnya tiada amalan dan usaha.

Justeru, jika seseorang itu mempunyai ilmu ugama yang mencukupi, tahu perkara-perkara asas seperti halal dan haram dan meyakini sepenuh hari tentang balasan-balasan yang akan diterimanya di akhirat nanti samada baik atau buruk nescaya perlakuan jenayah tidak akan dilakukan kerana mereka yakin setiap perlakuan baik dan buruk pastinya tidak terlepas dari balasan Allah di hari akhirat nanti. Apabila keyakinan ini bertapak kuat di hati, maka mereka pastinya akan berusaha sedaya upaya untuk melakukan ketaatan dan menjauhkan dirinya dari kemaksiatan walau apa keadaan yang melanda mereka sekalipun.

Di dalam sebuah hadith Nabi s.a.w bersabda:

Hadis Abu Hurairah R.A. berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda : Tidak berzina seorang penzina sedangkan ketika berzina itu dia masih beriman, tidak mencuri seorang pencuri sedangkan ketika mencuri itu dia masih beriman, tidak minum arak seorang peminum arak sedangkan ketika itu dia masih beriman.

Dari hadith ini jelas kepada kita bahawa jika seseorang itu benar-benar beriman kepada Allah pastinya mereka tidak akan melakukan kemungkaran dan dosa dalam apa jua keadaan kerana mereka rela bersusah payah di dunia demi mencapai balasan yang jauh lebih hebat di akhirat.

Jelasnya ilmu sahaja tidak menjamin seseorang itu jadi baik. Yang menjamin seseorang itu jadi baik adalah ilmu yang ditunjangi dengan keimanan yang mantap kepada Allah.

Justeru, apa yang perlu kita lakukan sekarang adalah menambah dan mencari ilmu ugama seperti seriusnya kita mencari ilmu-ilmu keduniaan. Di samping itu, kuatkan keimanan dan keyakinan kepada kalimah-kalimah Allah. Jika kedua-kedua ciri ini dapat digabungkan di dalam diri setiap individu, pastinya jenayah dapat dikurangkan walaupun tidak dapat menghapuskannya sama sekali.

Kepada ibu bapa, didiklah anak-anak anda dengan didikan ugama di samping memberi penumpuan kepada penghayatan yang sebenar kepada mereka. Jangan hanya menyediakan ilmu pengentahuan, anak-anak perlu dilatih dan dipantau sejauhmana mereka mentaati perintah Allah dan menjauhi larangnnNya.

Jika setiap keluarga mampu melakukan perkara yang amat penting ini, peristiwa pembunuhan, pencolekan, rogol, rasuah dan seumpamanya akan semakin berkurangan dan semua anggota masyarakat pastinya dapat hidup dalam keadaan yang lebih harmoni tanpa rasa takut dan gusar.

Bersambung ke Bahagian 3

Permasalahan kahwin campur (Wawancara)

nik115.jpg

Wawancara

Permasalahan kahwin campur

MUKADIMAH — KONFLIK dalam perkahwinan campur khususnya membabitkan lelaki Islam dengan wanita bukan Islam khususnya wanita Barat nampaknya semakin ketara sejak akhir-akhir ini.Antara implikasi paling menyayat hati ialah perebutan anak hasil perkongsian hidup pasangan terbabit selepas bercerai.Kisah bapa yang terpaksa membawa ‘lari’ anaknya ke Malaysia daripada jagaan ibu mereka di negara Barat yang jauhnya beribu-ribu kilometer bukan kisah baru dalam media massa tempatan.Boleh dikatakan, pendapat umum di Malaysia dalam kes seumpama ini memihak kepada si bapa yang lazimnya berkata mereka berbuat demikian untuk menyelamatkan akidah anak-anak.Persoalannya, siapakah yang harus dipersalahkan dan apakah iktibar yang boleh diambil oleh individu Muslim yang berkahwin khususnya dengan wanita Barat dalam kes serupa ini ?Mendasari masalah ini, wartawan Mingguan Malaysia, Ruhaidini Abd. Kadir meninjau pandangan Penolong Profesor, Kulliyah Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr. Nik Rahim Nik Wajis mengenai konflik rumah tangga yang mungkin boleh menular menjadi isu diplomatik antara dua negara.PERKAHWINAN dari berlainan bangsa atau dikenali juga dengan ‘kahwin campur’ bukanlah perkara yang asing dan pelik.Ia telah berlaku saban waktu dalam masyarakat seluruh dunia dan tidak ketinggalan rakyat negara kita yang merantau ke luar negara dan berkahwin dengan rakyat asing di negara mereka atau rakyat Malaysia yang berkahwin dengan rakyat negara luar yang datang ke negara kita.Perkara seperti ini sebenarnya diterima dan ia selari serta tidak bercanggah dengan ajaran Islam yang tidak membezakan di antara bangsa dan warna kulit.Ini kerana perkahwinan ini telah memenuhi syarat utama di dalam Islam iaitu pasangan tersebut mestilah beragama Islam.Larangan hanya terdapat di dalam perkahwinan dengan mereka yang bukan Islam. Di dalam al-Quran, Allah berfirman: Janganlah kamu mengahwini wanita-wanita musyrik sehinggalah mereka beriman, sesungguhnya seorang hamba yang mukmin itu lebih baik daripada wanita yang musyrik meskipun kamu menyukainya.Berdasarkan ayat itu, larangan berkahwin secara automatik terangkat apabila wanita tersebut memeluk Islam.Pada pandangan saya, berkahwin campur tentunya ada kebaikannya namun tidak kurang juga ada keburukannya apalagi jika perkahwinan itu di antara rakyat tempatan dengan rakyat dari luar negara.Fokus perbincangan kita kali ini ialah tentang suami dari rakyat tempatan yang mengahwini wanita dari bangsa asing. Pada dasarnya Islam tidak melarang perkahwinan seumpama ini jika sekiranya pasangan tersebut sudah memeluk Islam.Di antara kebaikan perkahwinan campur pertamanya ialah pasangan itu berpeluang untuk berkenalan di antara satu sama lain. Bukan sahaja dengan pasangannya bahkan seluruh keluarga yang terlibat dan ini bertepatan dengan hikmah atau tujuan Allah mencipta manusia dari berbilang bangsa, puak dan kaum.Namun di sini kadangkala akan timbul masalah khususnya bagi kita umat Islam.Jika pasangan tersebut dari negara Barat contohnya, tentulah sukar bagi kita untuk menerima sesetengah adat serta amalan yang mereka lakukan.Meminum arak, pergaulan bebas, berzina, berjudi adalah di antara amalan yang sukar dihapuskan dan ini seolah-olah sudah sebati di dalam kehidupan mereka bahkan ia boleh dikira sebagai sebahagian dari hidup mereka.Bagaimana boleh kita pastikan bahawa isteri yang dikahwini adalah suci kerana amalan seks bebas yang berleluasa di dalam masyarakat mereka.Sebagai suami tentunya tidak manis jika terus membelakangkan keluarga wanita yang dikahwini. Ini kerana, meskipun wanita itu telah dikahwini, namun ibu bapa mereka tetap perlu dihormati walaupun mereka tidak memeluk Islam.Satu lagi masalah yang mungkin timbul berkaitan dengan adat istiadat dan saya melihat ini pasangan akan mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan adat istiadat pasangan mereka.Jika pasangan yang dilahirkan di negara Barat dan hidup pula di dalam kemewahan, maka mungkin mereka agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan rakyat tempatan dan kadangkala ini juga boleh mendorong kepada ketidaksefahaman dan akhirnya membawa kepada perceraian.Kedua, selain peluang untuk memahami dan mengamalkan adat resam serta budaya berbeza, faktor bahasa juga dikira advantage kerana dengan berkahwin seseorang itu memiliki ‘kamus hidup’, yang pasti akan membantu dalam menguasai sesuatu bahasa.Namun, di sini juga masalah akan timbul. Masalah ini bukan di antara pasangan tersebut yang pastinya boleh berkomunikasi dengan sesuatu bahasa, tetapi dengan keluarga pasangan.Bernasib baiklah jika ibu bapa boleh memahami bahasa pasangan tersebut, jika tidak ia boleh menimbulkan masalah dalam keluarga tersebut.Ketiga, di samping boleh berkenalan, memahami budaya asing serta penguasaan bahasa yang berbeza, pasangan terbabit juga jika bernasib baik berpeluang untuk memperolehi anak-anak yang mempunyai rupa yang berbeza.Bagi kebanyakan orang, mempunyai anak serta cucu dari pelbagai rupa tentunya menceriakan.Bayangkan jika di dalam satu keluarga, ada anak yang rupanya orang Inggeris, ada wajahnya seperti Arab dan sebagainya. Tentunya ia menjadi kebanggaan.Keempat, perkahwinan campur antara rakyat tempatan dengan orang luar dikira sebagai satu perjuangan dan dakwah yang besar. Mereka boleh dikira sebagai penyelamat khususnya jika pasangan tersebut sebelum berkahwin bukan seorang Muslim.Ini kerana mereka telah berjaya meyakinkan pasangannya dengan agama yang sebenar iaitu Islam yang telah mengubah hidup mereka dari kegelapan kepada cahaya Islam.Namun, perkara yang perlu diberi perhatian serius di sini ialah tentang komitmen suami terhadap isteri yang baru memeluk Islam.Isteri seharusnya diberi kefahaman sebenar tentang Islam. Niat mereka perlu diperbetulkan. Memeluk Islam bukan kerana ingin berkahwin tetapi kerana keyakinan dan kebenaran Islam yang telah mula dilihat.Keyakinan, keikhlasan di dalam memeluk Islam adalah amat penting bagi menjamin seseorang yang memeluk Islam kekal berada di dalam agama yang suci meskipun jodoh mereka kadangkala tidak kekal.Ramai yang memeluk Islam hanya kerana cinta dan ingin berkahwin tetapi apabila berpisah lantas kembali kepada agama asal.Suami di dalam hal ini perlu memainkan peranan mereka di dalam mendidik isteri agar benar-benar faham akan agama Islam yang suci ini.Sememangnya di dalam perkahwinan, perceraian adalah antara perkara yang lumrah berlaku. Namun, perkara seperti ini perlulah dijauhi. Amalan talak atau cerai adalah satu amalan yang dibenci oleh Allah meskipun ia adalah harus pada hukum syarak.Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud “sebenci-benci perkara yang halal di sisi Allah ialah talak’ menggambarkan kepada kita bahawa talak meskipun harus, ianya bukan suatu yang boleh dijadikan mainan.Perceraian menimbulkan banyak masalah bukan sahaja kepada suami tetapi memberi kesan yang sangat dahsyat kepada anak-anak. Keadaan akan menjadi lebih rumit jika isteri berasal dari luar negara.Menurut Seksyen 82, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, ibu adalah orang yang paling berhak menjaga anak kecilnya semasa masih di dalam perkahwinan dan selepas perceraian.Namun persoalannya, adakah si suami rela meninggalkan anaknya bersama ibu mereka di luar negara sedangkan si suami tidak begitu yakin dengan akidah bekas isterinya ?Si isteri mungkin akan kembali kepada agama asal dan anak-anak juga mungkin terikut-ikut dengan fahaman ibu mereka dan di atas kebimbangan ini si bapa sanggup ‘melarikan’ atau ‘menculik’ anak sendiri untuk dibawa pulang ke tanah air.Jika si isteri telah murtad, sememangnya jelas bahawa tindakan suami adalah tepat tetapi itu pun selepas mahkamah memastikan bahawa segala bukti tentang dakwaan murtad adalah benar.Ini berdasarkan kepada Seksyen 83 yang menyebut bahawa hak penjagaan (hadanah) seorang wanita akan hilang apabila wanita itu murtad dan kembali kepada agama asal mereka.Berdasarkan beberapa peristiwa yang pernah menjadi berita utama di media massa tempatan, saya melihat bahawa perkahwinan campur khususnya antara lelaki Islam Malaysia dengan wanita Barat banyak menimbulkan masalah apabila berlaku perceraian.Lantaran itu, saya berpendapat bahawa perkahwinan seperti ini jika boleh, hendaklah dielakkan demi menjaga keharmonian hidup kita, anak-anak, keluarga, masyarakat bahkan negara.Ini kerana masih ramai wanita tempatan yang mampu memberikan kebahagiaan kepada kita. Kenapa harus memilih ‘barangan import’ sedangkan ‘barangan tempatan’ lebih bermutu atau setidak-tidaknya setaraf dengan ‘barangan import’.Namun, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat perkahwinan yang seumpama itu boleh bertahan selama-lamanya tanpa sebarang masalah yang besar.Pokok pangkal adalah terletak kepada keyakinan serta kesanggupan kita untuk menangani masalah yang berlaku dan tidak mudah menggelabah di dalam menghadapi situasi yang mencabar.

Dr. Nik Rahim Nik Wajis ialah Bekas Penolong Profesor, Kulliyah Undang-undang UIA dan bekas Kolumnis Utusan Malaysia di dalam Ruangan Bicara Syariah.

Artikel ini telah disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 08/03/1998

Dr Nik Rahim Nik Wajis kini adalalah Pengarah Urusan, Syihab Excellence Agency Sdn Bhd (Perunding Kewangan & Perundangan Islam). Sila layari: www.syihab.com untuk maklumat lanjut.

 

Riba: Dulu dan Sekarang


Riba: Dulu dan Sekarang

 

Persoalan riba adalah satu persoalan yang amat serius. Justeru, tidak hairanlah jika Allah mengishtiharkan perang kepada mereka yang terus beramal dengan riba setelah datang wahyu dari Allah yang melarang keras amalan riba ini.

Tidak ada keraguan tentang pengharaman riba kerana ia jelas membawa keburukan dan penindasan kepada mereka yang terlibat. Mereka yang kaya terus kaya manakala yang miskin pula akan terus merana. Pengharaman riba jelas bertujuan melindungi masyarakat khususnya golongan yang lemah dan miskin dari terus ditindas oleh golongan kaya dan hartawan. Juga jelas di sini adalah pengharaman riba adalah kerana keburukan dan kesan dari sudut ekonominya terhadap mereka yang terlibat khususnya mereka yang amat-amat memerlukan pertolongan dari sudut kewangan.

Jika ditinjau dari sudut amalan riba yang diharamkan, ianya pada kebiasaannya berlaku dalam urusan pinjaman atau riba al qardh. Apabila se orang yang memerlukan pinjaman bagi memenuhi keperluan hariannya seperti makan dan minum dan sebagainya, maka cara paling mudah ialah membuat pinjaman kepada mereka yang berada. Mereka yang berada pula tidak rela untuk memberi bantuan secara sukarela tanpa sebarang imbuhan ataupun melalui qard al hasan. Sebaliknya meletakkan syarat bahawa semasa memulangkan pinjaman tersebut, maka perlu dibayar dengan jumlah yang lebih besar sebagai satu bentuk imbuhan kepada pemberi pinjaman. Manakala peminjam pula, kerana kesempitan hidup terpaksa menerima syarat yang dikenakan oleh pemberi pinjaman meskipun ianya menambah beban yang terpaksa ditanggung olehnya. Si kaya bertambah kaya tetapi ianya terhasil dari kesusahan dan penderitaan orang lain. Amat jelas di sini bahawa terdapat unsur-unsur kezaliman dan penindasan secara halus terhadap peminjam. Jelas sekali tambahan yang berlaku dalam transksi ini amat patut diharamkan kerana ianya menjadi punca ketidakadilan dalam masyarakat.

Di dalam sebuah hadith Nabi s.a.w pernah bersabda: Setiap qard (pinjaman) yang terdapat di dalamnya manafaat tambahan, maka ianya adalah riba”. Hadith ini amat sesuai diaplikasikan di dalam kes di atas kerana manafaat tambahan itu adalah satu kezaliman ke atas mereka yang meminjam.

Namun jika situasi di atas bertukar, maka kesannya juga akan turut bertukar. Sebagai contoh, jika sekiranya si kaya pula yang berhutang dengan si miskin dengan niat untuk membantu si miskin tersebut agar mampu memperolehi pendapatan tambahan dengan menjanjikan hibah atau hadiah secara bulanan kepada si miskin tadi agar tahap ekonominya bertambah baik, maka adalakah ianya termasuk riba dan patut diharamkan?

Secara umum, pengharaman sesuatu perkara adalah kerana keburukan atau kesan negatif yang akan menimpa mereka melakukannya atau mereka yang terlibat hasil dari perbuatan tersebut. Kesan negatif  tersebut mungkin terpaksa ditanggung oleh individu dari sudut fizikal, material atau mental. Kesan juga mungkin terhadap masyarakat umum atau terhadap kesucian ugama Islam itu sendiri.

Jika disebut apa sahaja perkara yang diharamkan, maka amat jelas ianya terdapat keburukan tertentu samada ianya dapat dilihat dengan jelas oleh manusia atau ianya menjadi rahsia Allah s.w.t . Namun secara umum, keburukan dan kesan negatif tentunya dapat dilihat. Arak diharamkan kerana ianya boleh menyebabkan seseorang itu hilang akal. Mencuri diharamkan kerana ianya akan mengambil hak orang lain tanpa izin dan boleh menyebabkan pertelingkahan dan perbalahan. Rasuah diharamkan kerana ia boleh menyebabkan seseorang itu mengambil suatu yang bukan haknya melalui rasuah walaupun dia sebenarnya tidak patut memperolehinya atau melepaskan diri dari hukuman melalui rasuah. Zina diharamkan kerana ianya boleh melahirkan anak di luar nikah yang akhirnya akan memporakperandakan masyarakat  dan institusi kekeluargaan. Contoh-contoh di atas jelas menggambarkan betapa buruknya akibat melakukan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah.

Jadi di sini boleh dikatakan bahawa jika sekiranya sesuatu perkara itu tidak membawa keburukan bahkan membawa kebaikan yang amat jelas walaupun ianya terdapat persamaan dari konsepnya, maka tidak ada sebab kenapa perkara itu harus diharamkan. Memang hak menghalal atau mengharamkan sesuatu perkara itu adalah hak mutlak Allah dan manusia tidak hak untuk mencabuli hak tersebut. Namun Al Qur’an diturunkan oleh Allah secara ijmali (ringkas) dan bukan tafsili (terperinci) manakala hadith pula akan menerangkannya secara terperinci. Begitupun hadith tidak juga menerangkan semua perkara dengan terperinci pada setiap masa bahkan ianya berlaku hanya di zaman Nabi s.a.w. Selepas kewafatan Nabi banyak perkara-perkara baru timbul yang belum ada hukum terhadapnya. Para mujtahidin bertanggungjawab mengambil alih tugas Nabi s.a.w seperti yang dijelaskan dalam hadith ” Ulama’ itu adalah pewaris para Nabi” setelah kewafatan Nabi.

Al Quran dan hadith meletakkan asas yang amat kukuh dalam semua perkara. Bagi para ulama’ dan mujtahidin perlu berusaha dan mencari asas-asas tersebut untuk diaplikasikan kepada perkara-perkara baru yang berlaku dalam masyarakat.

Berbalik kepada persoalan riba, hukumnya memang jelas. Ianya perkara yang diharamkan dan ianya wajib dijauhi. Namun persoalannya di sini bukan persoalan halal atau haramnya riba, tapi persoalannya adakah setiap yang berganda seperti disebutkan dalam al quran sebagai ” ad’afan mudha’afah” adalah riba? atau adakah setiap perkara yang mempunyai manafaat itu juga dianggap riba seperti yang disebut dalam hadith Nabi s.a.w :Setiap pinjaman (qardh) yang mempunyai manafaat tertentu, maka ia adalah riba”?

Dalam sebuah hadith Nabi s.a.w bersabda:

“Sebaik-baik mereka yang membayar hutang adalah mereka yang membayar lebih”

hadith ini dengan jelas menggambarkan betapa umat Islam amat digalakkan untuk menghargai jasa baik dan pertolongan yang diberikan kepada mereka oleh orang lain-lain. Meskipun pada dasarnya dilihat bahawa membayar lebih dari jumlah hutang yang dipimjam terdapat unsur-unsur riba, namun hadith di atas mengecualikan keadaan ini kerana ianya dilakukan oleh penerima hutang dengan keredhaannya sebagai terima kasih di atas bantuan yang diberikan. Meskipun terdapat unsur riba iaitu ‘lebihan’ dalam kes di atas namun ianya tidak boleh dianggap riba kerana ia tidak disyaratkan oleh pemberi hutang sebaliknya dibuat secara sukarela dan tanpa sebarang paksaan.

Dari hadith ini juga dapat difahami bahawa bukan setiap ‘lebihan’ itu boleh dikira sebagai riba. Riba hanya akan berlaku sekiranya ‘lebihan’ itu terdapat unsur-unsur kezaliman, penindasan dan eksploitasi dari pihak pemberi pinjaman terhadap peminjam seperti yang lazim dilakukan di zaman jahiliyyah dan juga oleh ceti dan along. Namun jika sekiranya ‘lebihan’ yang dibayar oleh pihak yang meminjam kepada peminjam di atas dasar sukarela dan sebagai membalas jasa baiknya kerana kesediaan untuk membantunya ketika berada di dalam kesempitan, maka ‘lebihan’ itu tidak boleh dianggap riba kerana tiadanya unsur kezaliman dan penginayaan.

Dalam sebuah hadith Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Allah itu baik dan suka kepada perkara yang baik”

Hadith di atas menggambarkan bahawa jika sesuatu perkara itu boleh membawa kebaikan kepada manusia dan tiada unsur-unsur negatif seperti kezaliman, penginayaan, penipuan atau seumpamanya maka tidak mungkin Allah mengharamkannya terhadap hambanya. Allah s.w.t hanya akan mengharamkan sesuatu yang membawa keburukan kepada manusia  tidak kira samada keburukan itu terhadap diri, aqal, ugama, maruah, harta dan lain-lain.