Air dan kehidupan manusia

nik111.jpg

rencana

Air dan kehidupan manusia

TIDAK dapat dinafikan bahawa air merupakan sumber yang amat penting bagi kehidupan umat manusia. Kita dapat membayangkan bagaimana keadaan hidup di kala dilanda krisis air ini.Meskipun ia hanya dihadapi oleh penduduk Lembah Klang, namun perkara yang sama tidak mustahil akan berlaku di negeri-negeri lain juga jika keadaan kemarau terus berpanjangan. Kehidupan menjadi begitu sukar, keluh kesah, tertekan dan sebagainya. Di kala ini segelas air terasa begitu bernilai. Rasa tidak sanggup untuk dijual meskipun jika ditawarkan harga yang begitu lumayan.Di saat ini barulah kesedaran timbul dan kita mula tahu berjimat cermat menggunakan air. Semasa ‘mewah’, kita tidak ada had air untuk digunakan apabila mandi, membasuh pakaian dan kereta kesayangan, bahkan air yang memancut keluar dari paip-paip bocor kadangkala tidak begitu diendahkan. Berjimat cermat menggunakan air tidak ada di dalam kamus kehidupan kita. Namun di saat genting ini, pakaian dibasuh hanya setelah ia benar-benar kotor. Jika mandi pula, satu baldi mungkin cukup untuk dua atau tiga kali mandi. Kereta yang dulu sering dibasuh pantang melihat kekotoran melekat, sekarang berubah. Semuanya kerana kita tahu betapa sukar untuk mendapatkan air.Sememangnya begitulah tabiatnya manusia, beringat apabila sudah terkena, sudah terantuk baru tengadah. Di dalam al-Quran, Allah s.w.t. menceritakan perihal manusia serta tabiat mereka. Firman Allah: ”Apabila manusia ditimpa bencana maka mulalah mereka berdoa kepada Tuhan serta kembali (bertaubat) kemudian apabila bencana itu ditukar menjadi nikmat, maka mereka mula lupa tentang apa yang pernah mereka doakan dan mereka mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah bagi menyesatkan manusia dari jalan Allah.” (Surah al-Zumar: 8).Sesungguhnya kemarau yang memanjang ini seharusnya mengajar kita supaya lebih peka dan tahu untuk menilai rahmat dan nikmat dari Allah. Kita seharusnya sedar bahawa ini semua adalah bencana yang sengaja diturunkan oleh Allah agar kita sedar dan insaf serta kembali ke jalan-Nya yang benar.El Nino bukanlah penentu kepada keadaan yang berlaku, ia sekadar pembawa ‘amanat’ daripada Allah. El Nino adalah makhluk yang tidak mempunyai kuasa dan yang berkuasa hanyalah Allah. Tuhan yang mencipta segala yang wujud di atas permukaan bumi ini.Kita kerap kali mengkaji punca berlakunya sesuatu perkara dan seringkali lupa untuk mengembalikan segalanya kepada Allah. Apabila jerebu melanda negara kita tidak lama dulu, kita berputar mencari punca. Lantas kita berkata ”Oh!! Kebakaran hutan di Indonesia menjadi punca.” Lantas kita menghantar anggota bomba kita untuk memadamkan kebakaran di sana. Tapi kita lupa bahawa kebakaran cuma sekadar ‘cara’ bagaimana Allah menurunkan bencana kepada kita.Begitu juga apabila berlakunya kemarau panjang, El Nino disalahkan. Apabila paras air di beberapa empangan mula jatuh ke bawah paras kritikal, kita mula sibuk mencari punca. Akhirnya hujan turun dengan lebat, namun paras air tidak juga menampakkan perubahannya. Kita terus sibuk mencari punca kepada masalah, akhirnya punca ditemui. Tempat tadahan air diteroka sehingga air tidak dapat ditakung dan natijahnya, empangan-empangan tidak dapat menyimpan air seperti yang diharapkan. Akhirnya bekalan air di beberapa tempat mula dicatu.Demikianlah bagaimana sesuatu perkara itu berkait-kaitan antara satu dengan lain. Namun tidak ada siapa yang sanggup untuk menerima dan mengaku kesilapan yang dilakukan, umpama lagu Bangau oh BangauSememangnya di dalam Islam kita disuruh untuk berusaha mencari jalan bagi menyelesaikan segala masalah dan kekusutan yang kita hadapi. Namun usaha ini haruslah dikaitkan dengan kepercayaan serta keyakinan yang teguh bahawa segala yang berlaku adalah dengan kehendak Allah semata-mata. Setiap apa yang belaku ada hikmatnya yang terlindung namun ia amat sukar di lihat kecuali mereka yang dibuka hatinya oleh Allah.Menurut pakar kaji cuaca fenomena El Nino akan berakhir di dalam masa beberapa bulan lagi, namun ia akan diganti pula dengan El Nina yang membawa suhu dingin serta hujan lebat yang tentunya membawa kegembiraan kepada kita kerana krisis air serta cuaca panas mungkin akan berakhir. Namun dibimbangi ia akan menyebabkan banjir serta pelbagai lagi kesan yang tentunya akan membawa keburukan kepada kita. Demikianlah keadaan silih berganti, namun sedar atau tidak, mahu tidak mahu sebagai manusia kita terpaksa akur dengan sunnatullah (ketetapan Allah) bahawa kita tidak sentiasa memperoleh apa yang kita mahu kerana walau bagaimana hebat pencapaian teknologi kita, namun ketetapan Allah tidak siapa boleh menghalangnya.Namun sebagai seorang mukmin kita perlu menjadikan segala apa yang berlaku di sekeliling kita sebagai suatu pengajaran yang membawa supaya lebih hampir kepada Allah pencipta alam semesta.

* Dr. Nik Rahim Nik Wajis ialah Bekas Penolong Profesor, Kulliyah Undang-undang UIA dan bekas Kolumnis Utusan Malaysia di dalam Ruangan Bicara Syariah.

Artikel ini telah disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 06/05/1998

Dr Nik Rahim Nik Wajis kini adalalah Pengarah Urusan, Syihab Excellence Agency Sdn Bhd (Perunding Kewangan & Perundangan Islam). Sila layari: www.syihab.com untuk maklumat lanjut.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s