Islam dan hak asasi manusia

nik14.jpg

rencana

Islam dan hak asasi manusia

ISLAM adalah agama kesejahteraan. Kesejahteraan yang ditawarkan bukan sahaja kepada makhluk yang bernama manusia bahkan kepada seluruh makhluk di atas permukaan bumi termasuk haiwan serta tumbuh-tumbuhan.Perkataan Islam itu sendiri bererti kesejahteraan, maka tidak syak lagi Islam amat mementingkan kesejahteraan khususnya kesejahteraan manusia sejagat yang merupakan khalifah Allah di atas muka bumi ini.Di dalam kesibukan masyarakat manusia membicarakan tentang hak-hak asasi manusia, Islam sebenarnya telahpun menjadikannya sebagai perkara-perkara asas yang perlu diberi perhatian yang sewajarnya.Lima perkara asas tersebut adalah agama, nyawa, akal, maruah dan harta. Bagi menjamin perkara-perkara asas tersebut tidak dicabuli oleh mana-mana pihak, maka Islam telah menggariskan undang-undang yang khusus yang dikenali sebagai undang-undang hudud dan qisas.Perkara utama yang diberi perlindungan di dalam Islam ialah agama kerana ia merupakan perkara paling pokok dalam kehidupan manusia. Sememangnya manusia diberi kebebasan untuk memilih agama mengikut kecenderungan masing-masing. Ini jelas digambarkan oleh al-Quran:Tidak ada paksaan di dalam agama, sesungguhnya jalan yang lurus itu telah jelas berbanding dengan jalan yang sesat.Ayat ini dengan jelas menggambarkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan bagi umat Islam sama ada orang perseorangan atau pun pihak atasan untuk mengenakan peraturan bagi memaksa mereka yang bukan Islam untuk memeluk Islam. Islam dengan tegas menjelaskan bahawa umat Islam tidak perlu memaksa orang yang bukan Islam untuk memilih Islam sebagai agama anutan mereka. Islam adalah agama yang jelas menjanjikan kesejahteraan kepada umatnya tanpa mengira bangsa.Mereka yang diberi hidayah oleh Allah untuk menerima Islam adalah mereka yang amat bertuah dan bernasib baik. Segala dosa yang mereka lakukan semasa di luar Islam dijanjikan keampunan oleh Allah seumpama bayi yang baru dilahirkan. Alangkah beruntungnya mereka yang sekian lama bergelumang dengan dosa tetapi di akhir hayatnya diberi secebis cahaya keimanan lantas mati di dalam keimanan. Mereka dijanjikan syurga yang kekal abadi di akhirat nanti. Namun ramai juga yang kurang mengerti atau kabur tentang konsep kebebasan beragama yang menjadi prinsip Islam. Kebebasan beragama diberi kepada mereka yang bukan Islam untuk memilih agama yang mereka suka. Namun apabila seseorang itu memeluk Islam, kebebasan itu tidak lagi boleh diaplikasikan. Mereka telah menjadi warganegara Islam yang tertakluk kepada peraturan dan undang-undang.Islam melindungi penganutnya dengan tidak memberikan kelonggaran untuk mereka menjadi murtad. Ini merupakan satu jalan untuk memelihara kesucian Islam agar tidak menjadi fitnah kepada mereka yang bukan Islam. Membiarkan mereka yang murtad bebas tanpa diberi hukuman akan menyebabkan mereka akan cuba merosakkan serta memutarbelitkan ajaran agama bagi menarik umat Islam keluar dari agama mereka. Lantaran itu mereka yang murtad dikira sebagai pembelot kepada agama.Selain agama, nyawa juga dilindungi. Nyawa adalah suatu yang amat berharga yang tidak mungkin boleh dijual beli. Lantaran itu Islam telah menggariskan undang-undang qisas bagi menjamin nyawa manusia dilindungi. Membunuh adalah satu jenayah yang amat serius menurut perundangan Islam. Dari sudut hukumnya, membunuh adalah suatu yang haram dilakukan. Ia termasuk di dalam kategori dosa-dosa besar. Mereka yang membunuh dengan sengaja, dosanya umpama membunuh seluruh umat manusia. Dari segi perundangan, mereka yang didapati membunuh dengan sengaja dan dapat dibuktikan sama ada melalui dua orang saksi atau pengakuan, maka mereka boleh dibunuh. Antara tujuan hukuman ini dijalankan adalah untuk memelihara umat manusia daripada diperlakukan sesuatu yang boleh mengancam kehidupan mereka.Islam melihat akal adalah suatu yang amat penting bagi manusia. Akallah yang membezakan manusia dengan makhluk-makhluk yang lain. Kerana akal jugalah manusia mencapai tahap ketamadunan yang unggul. Akal menjadikan manusia tahu untuk membezakan yang mana hak dan yang mana batil, yang mana baik dan yang mana buruk.Dengan sebab itu Islam menyediakan hukuman yang khusus bagi melindungi akal manusia agar mereka mampu untuk mengatur susun kehidupan mereka dengan sebaiknya. Bila akal tidak dapat mengawal segala tindakan serta perkataan, para intelek akan menjadi manusia yang paling jelek, yang punyai kedudukan serta kekayaan akan menjadi umpama pengemis di jalanan.Maruah juga turut dibela di dalam Islam. Menuduh, membuat fitnah serta mengadakan cerita yang tidak benar adalah juga dilarang. Harta sememangnya sering menjadi perbualan. Kerana harta manusia sanggup bertelingkah dan bergaduh. Harta juga menjadikan manusia menjadi angkuh dan tidak keruan. Kehidupan manusia pastinya akan lebih harmoni dan damai jika hak asasi ini dipelihara.

* Dr. Nik Rahim Nik Wajis ialah Bekas Penolong Profesor, Kulliyah Undang-undang UIA dan bekas Kolumnis Utusan Malaysia di dalam Ruangan Bicara Syariah.

Artikel ini telah disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 29/07/1998

Dr Nik Rahim Nik Wajis kini adalalah Pengarah Urusan, Syihab Excellence Agency Sdn Bhd (Perunding Kewangan & Perundangan Islam). Sila layari: www.syihab.com untuk maklumat lanjut.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s