Biarlah Rahsia….

suatu ketika dulu, lagu ‘biarlah rahsia’ dendangan Datuk Siti Nurhaliza, memang amat popular dan sering menjadi siulan anak-anak muda. Bukan saja anak-anak muda, mak dan bapa kepada anak-anak muda tersebut juga turut sama bersiulan. Begitu hebat ‘aura’ Penyayi kelahiran Kuala Lipis Pahang ini di persada seni tanahair.

Namun bukan niat penulis untuk membuat ulasan atau komentar tentang penyayi popular tersebut. Nama dan lagu beliau dipinjamkan sekadar untuk menggambarkan bahawa manusia sememangnya suka berahsia. Bahkan kehidupan manusia sememangnya penuh misteri dan rahsia yang cuba disembunyikan. Kadangkala terdapat rahsia silam yang dikunci rapat dalam memori dan dikunci kemas agar rahsia tersebut tidak terbongkar. Kata pepatah Melayu, biar pecah di perut jangan pecah di mulut. Namun kadangkala, malang tidak berbau. Mulut tempayan boleh ditutup, tetapi mulut manusia sememangnya sukar ditutup. Meskipun rahsia kadangkala telah dimeterikan sebagai rahsia sulit, namun kerana sebab-sebab tertentu, akhirnya rahsia sudah tidak menjadi rahsia lagi.

Keaiban yang sekian lama tersimpan di lubuk rahsia akhirnya timbul di permukaan bumi. Keaiban terbuka, pekung di dada sudah jadi tontonan ramai. aib, malu, marah, kecewa. Perasaan bercampur baur. Lebih parah, akibat kebocoran rahsia, rumah tangga yang dibina sekian lama runtuh dan hancur berkecai. Kasih sayang yang dipupuk puluhan tahun, tiba-tiba pupus sekelip mata. Hilang kepercayaan, hancur keyakinan. Diri yang suatu ketika disanjung kini dilihat seperti sampah sarap yang tiada bernilai. Umpama najis di tepi longkang. Tersisih. Terpinggir.
Terlalu sukar untuk meneruskan hidup. Ke mana pergi diri umpama dicaci dimaki diperli. Terasa seolah semua insan di dunia ini telah menghidu keaiban diri. Lantas pergi jauh membawa diri. Di kala ini, jika iman tiada dihati, pujukan dan rayuan si iblis pasti dituruti. Ah! Kamu sudah tiada nilai lagi. Semua orang membenci kamu dan menyisihkan kamu. Ayuh bersama kami. Lupakan segala duka dihati. Ayuh berhibur. Minumlah minuman ajaib yang bisa hilangkan segala kerisauan di hati…akhirnya kecundang insan kerdil ini..hanya kerana ‘rahsianya’ bukan lagi rahsia.

Bertuahlah bagi orang yang beriman. Yang sabar menghadapi cobaan dan tohmahan. Semakin berat dugaan, semakin hampir ia kepada Tuhan. Biar hilang isteri. Hilang anak dan hilang orang tersayang, asal iman kekal tidak bergoncang. Syaitan pastinya jadi tidak karuan kerana hasrat untuk menggoda insan beriman gagal menjadi kenyataan.

Demikianlah hebatnya penangan rahsia dalam kehidupan makhluk bernama insan. Justeru itu Islam melarang keras umatnya mendedahkan rahsia dan keaiban orang lain apatah lagi mendedahkan keaiban diri sendiri. Hanya orang yang bodoh dan dungu serta tidak siuman atau telah hilang kewarasan yang akan melakukan demikian. Adalah berdoa seseorang yang melakukan kemaksiatn, kemudian menceritakan perilaku jijiknya kepada orang lain kerana manusia sebegini dianggap angkuh dan takabur dengan Allah yang menciptanya.

Justeru..jika anda punyai rahasia…simpanlah rahasia itu sebaik mungkin. Jika rahasia itu melibatkan dosa dan maksiat kepada Allah, bertubatlah..beristighfarlah kepada Allah..agar segala dosa lampau diampuni Allah…segala yang berlalu, biarlah berlalu…yang menjadi rahsia..biarlah rahsia!
Wassalam.

Hanya untuk renungan….moga ada manafaatnya insya Allah! Ameen!

Ikhlas -Ustaz Dr Nik Rahim Nik Wajis
Gombak, Kl.
13Zulhijjah 1431h= 19 nov 2010

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s