Menyorokkan barang kegiatan keji

rencana

MANUSIA dijadikan oleh Allah s.w.t. tidak lain dan tidak bukan ialah untuk beribadat dan mengabdikan diri kepada-Nya. Sebagai seorang hamba, sudah tentu banyak cubaan dan dugaan yang terpaksa kita lalui.Cubaan-cubaan ini sengaja diadakan sebagai salah satu cara bagi melihat sejauh mana kesetiaan seseorang hamba terhadap tuannya. Demkianlah juga keadaannya dengan manusia yang hidup di atas muka bumi.Mereka akan sentiasa dicuba dan diuji agar dengan proses ini dapat dilihat siapakah di antara mereka yang benar-benar patuh dan tunduk kepada Allah, Tuhan yang mencipta mereka. Di dalam al-Quran Allah berfirman:Maha suci Allah yang kekuasaan terletak di dalam tangan-Nya dan Dia berkuasa di atas setiap sesuatu. Yang mencipta kematian dan kehidupan untuk menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya _ Surah Al-Mulk: Ayat 1-2.Puasa adalah salah satu cubaan dan ujian yang Allah sediakan bagi umat Islam bagi menguji ketaatan dan kepatuhan mereka. Jika kita berpuasa pada hari ini, yang merupakan hari yang ke lapan dari bulan Ramadan, ini adalah merupakan suatu petanda bahawa kita telah berjaya melepasi ujian yang disediakan.Namun, kejayaan ini masih belum menjamin kita untuk mendapat kejayaan yang sebenar iaitu kejayaan yang diiktiraf oleh Allah sekiranya tuntutan serta ciri penting puasa itu tidak kita ikuti dan kita amalkan.Di antara ciri penting yang perlu diberi perhatian semasa menunaikan ibadat puasa di bulan Ramadan ini ialah menjauhi perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Di antara perkara-perkara tersebut ialah menjauhi daripada memakan yang haram. Hari ini ramai umat Islam yang berpuasa, namun di dalam mereka berpuasa, mereka tidak menghiraukan tentang makanan minuman mereka sama ada halal atau haram.Ada yang masih meneruskan tabiat suka berjudi seperti membeli nombor ekor, memakan riba, mencuri dan sebagainya. Dan satu lagi perkara yang sedang hangat diperkatakan di saat ini ialah tentang ada segelintir peniaga yang menyorok barang-barang keperluan asas seperti gula, tepung, susu dan lain-lain lagi demi untuk mendapatkan keuntungan yang berlebihan.Amalan seperti ini adalah haram menurut hukum Islam dan suatu amalan yang tidak bertepatan dengan etika serta akhlak sebagai seorang Muslim. Seorang Muslim tentunya tidak sanggup menyusahkan saudaranya yang lain. Mereka peka dan prihatin dengan kesusahan orang lain kerana mereka itu adalah umpama satu tubuh. Jika sakit mana-mana anggota tubuh, maka anggota tubuh yang lain akan turut merasa penderitaannya.Demikianlah sifat dan sikap yang perlu dimiliki oleh setiap Muslim. Perbuatan menyorok barang adalah suatu amalan menyusahkan orang lain dan ini bercanggah dengan larangan Rasulullah di dalam hadis yang bermaksud:Seseorang mukmin itu tidak menyakiti mukmin yang lain sama ada dengan lidah (perkataan) atau dengan tangannya (perbuatan).Hadis ini dengan jelas menyebut ciri-ciri penting sebagai seorang mukmin. Mereka tidak rela menyakiti saudaranya sesama Muslim serta seluruh umat manusia hanya kerana tamakkan keuntungan yang hanya bersifat sementara. Tidak salah berniaga dan mencari untung kerana itu adalah suatu kerja yang mulia bahkan sembilan persepuluh dari rezeki Allah terletak di dalam perniagaan.Namun bukanlah perniagaan yang hanya pentingkan keuntungan walaupun di atas kesusahan dan penderitaan orang lain. Jika kita berjaya melakukan ibadat puasa, meskipun menahan lapar dan dahaga serta keperluan jantina yang ternyata begitu sukar untuk dilakukan oleh sesetengah umat Islam, namun demi mencari keredaan Allah.Segala susah payah kita hadapi, kita tentunya juga mampu menahan diri daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang saya sebutkan tadi kerana ia lebih mudah jika kita benar-benar beriman kepada Allah dan yakin kepada pembalasan Allah yang sudah pasti akan datang dan tiada siapa yang dapat mengelaknya.Jika di dunia kita mungkin terselamat dari dikesan oleh pihak berkuasa, namun di akhirat, sebesar atom kecilnya kesalahan akan dapat dilihat dan diadili.Lantaran itu, sempena bulan Ramadan al-Mubarak ini, marilah kita sama-sama memohon kepada Allah agar kita diberikan kekuatan untuk terus beribadat kepada Allah dengan ibadat puasa ini dan sekali gus menjauhi perkara-perkara yang terlarang agar puasa kita pada hari ini dan hari-hari yang seterusnya menjadi puasa yang mempunyai nilai serta kualiti yang baik dan diterima oleh Allah.

Dr. Nik Rahim Nik Wajis ialah Bekas Penolong Profesor, Kulliyah Undang-undang UIA dan bekas Kolumnis Utusan Malaysia di dalam Ruangan Bicara Syariah.

Artikel ini telah disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 07/01/1998

Dr Nik Rahim Nik Wajis kini adalalah Pengarah Urusan, Syihab Excellence Agency Sdn Bhd (Perunding Kewangan & Perundangan Islam). Sila layari: www.syihab.com untuk maklumat lanjut.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s