Sinopsis Ceramah Perdana Sempena Sambutan Maal Hijrah 1432H

Syukur pada Allah Yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa. Salawat dan salam kepada Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Malam tadi telah berlangsung dengan jayanya program ceramah Perdana sempena sambutan Maal Hijrah di Masjid Al Hidayah, Sg Penchala Kuala Lumpur. Program dihadiri kira2 100 orang jamaah dari sekitar qariah Sg Penchala.

Ceramah berkisar tentang hijrah Nabi dan para sahabat dari Makkah Al Mukarramah ke Madinatul Munawarah atau Yathrib iaitu nama asal bagi Madinah. Penghijrahan Nabi dan sahabat bukan kerana ketakutan atau putus asa dengan penolakan kaun kafir Quraish, akan tetapi kerana perintah dari Allah s.w.t. Allah merancang untuk memberikan kemenangan kepada Nabi dan para sahabat di waktu itu melalui kaedah penghijrahan ini. Hijrah merupakan satu strategi untuk mengatur langkah dan menyusun kembali kekuatan ummat Islam pada ketika itu.

Penggabungan dua golongan muslimin dari kaum muhajirin dan ansar, ternyata membawa impak yang amat besar dalam kebangkitan ummat Islam. Dan akhirnya baginda dan para sahabat kembali ke Makkah al Mukarramah dengan keyakinan yang tinggi dengan Allah dan Nabi Muhammad s.a.w. dan Allah kurniakan kemenangan yang agung terhadap musuh-musuh Islam dengan fathu Makkah atau pembukaan kota Mekah.

Allah s.w.t menggambarkan kemenangan ini di dalam surah al Fath :”Apabila datang pertolongan Allah dan pembukaan (kota Makkah). Dan kamu melihat manusia memeluk ugama Allah secara berpuak-puak”. Inilah hasil pengorbanan yang telah dibuat oleh Nabi s.aw dan juga para sahabat sejak lebih dari 1400 yang lampau.

Kini kita tidak lagi dituntut untuk melakukan kaedah hijrah yang dilakukan oleh Nabi s.aw. dan para sahabat baginda. Namun kita tetap wajib berhijrah. Cuma cara hijrah sahaja yang berbeza. Kalau dahulu Nabi s.aw. dan para sahabat berhijrah  secara fizikal, kita kini tidak lagi perlu berbuat demikian. Hijrah yang perlu kita lakukan hari ini ialah melalui kaedah hijrah yang bukan berbentuk fizikal. Dalam erti kata lain melakukan perubahan dalam diri kita, keluarga, masyarakat dan negara. Kita perlu merobah dan meningkatkan keimanan kita kepada Allah. Memperbaiki dan menambah amal ibadat seperti solat, puasa, bersedekah dan lain-lain. Kita juga wajib berhijrah dari hidup penuh kemaksiatan kepada satu kehidupan baru. Kehidupan yang dipenuhi dengan amal-amal soleh.

Diri yang baik tidak mencukupi jika keluarga tebiar tanpa pendidikan. Keluarga juga harus dididik menjad hamba-hamba Allah yang taat kepada Allah. Ibu bapa tidak seharusnya pentingkan diri sendiri dengan melakukan ibadat sedangkan anak-anak tidak dibimbing dan diajak untuk sama menyembah Allah yang Maha Esa. Apakah ibu bapa mahu memasuki syurga sedangkan anak-anak dibiar menjadi penghuni neraka?

Masyarakat juga harus berubah dan berhijrah. Anggota masyarakat perlu kembali kepada Ugama Allah dan ajaran-ajaran Islam. Jauhilah persengkertaan dan perbalahan. Eratkan silaturrahim dan persaudaraan. Ummat Islam hanya akan jadi kuat dan perkasa di kala mereka bersatu di dalam ukhuwwah Islamiah yang mantap. Bersatu teguh, bercerai roboh.

Negara juga perlu berubah. Kembali kepada syariat Islam dalam setiap aspek pentadbiran negara kerana tidak ada sistem pemerintahan dan pentadbiran yang lebih sempurna dan sistem ciptaan Allah diturunkan melalui wahyu kepada baginda s.a.w sejak sekian lama. Kekuatan ummat Islam terletak kepada sejauhmana mereka berpegang dengan ugama Allah. “Sekiranya kamu membantu Allah, pastinya Allah akan membantu kamu”.

Justeru, marilah kita sama berhijrah. Menukar corak kehidupan kita dari yang kurang baik kepada yang baik dan yang baik kepada yang lebih baik. Moga tahun hijrah 1432 ini membawa sinar baru dalam kehidupan diri dan keluarga kita, masyarakat dan juga negara. Ameen.

Wassalam

Ikhlas.

Ustaz Dr Nik Rahim Nik Wajis

1 Muharram 1432 h /7 Dis 2010

Gombak, Selangor

Doa Akhir Tahun Hijrah 1431 & Awal Tahun Hijrah 1432

Salam sahabat-sahabat yang dikasihi. Hanya beberapa hari saja lagi tahun 1431H akan pergi meninggalkan kita dan tahun baru hijrah 1432 akan mendatangi kita. Berbahagialah mereka yang diberi kekuatan oleh Allah sepanjang tahun 1431 H dan memenuhi sepanjang tahun tersebut dengan ketaatan dan amal soleh. Rugi dan hinalah pula bagi mereka yang kesilapan, kelemahan, kemaksiatannya lebih banyak dari kebaikan dan amal soleh. Namun Allah s.w.t amat menyayangi hambaNya dan bersedia untuk menerima taubat hambaNya asal saja mereka kembali ke pangkal jalan dan bertaubat kepada Allah dengan taubah al nasuha. Taubah yang sungguh-sungguh yang lahir dari keinsafan dan penyesalan terhadap kesilapan lampau.

Di penghujung tahun hijrah ini kita amat digalakkan untuk bertaubat, beristighfar dan kembali kepada Allah dan membaca doa akhir tahun dengan harapan agar segala dosa2 dan kemaksiatan yang pernah kita lakukan sepanjang tahun diampuni oleh Allah. Kita perlu kembali kepada Allah dan bertaubat kerana kita tidak tahu apakah masih ada bagi kita peluang untuk menemui tahun baru yang akan datang. Alangkah bahagianya diri se orang hamba yang bertaubat kepada Allah di akhir tahun lantas Allah ampunkan dosanya, maka jika ditakdirkan dia pergi menemui Allah, maka dirinya di sisi Allah seakan bayi yang baru saja dilahirkan ke dunia. Tanpa dosa. Tanpa maksiat.

Selain doa akhir tahun, kita juga disunatkan membaca doa awal tahun dengan harapan agar tahun baru ini memberikan kita cahaya harapan baru dalam mengharungi hidup yang penuh dengan cabaran ini. Pohonlah kepada Allah agar diberikan kepada kita, keluarga kita, jiran tetangga kita, masyarakat keliling kita, pemimpin2 kita dan ummat Islam seluruhnya – keimanan, keikhlasan, kesabaran dan kemenangan dalam menentang musuh-musuh durjana yang sentiasa mengintai-intai peluang untuk memusnahkan ummat Islam. Moga tahun 1432H menjadi tahun KEMENANGAN kepada umat Islam seluruh dunia insya Allah.