APABILA EKONOMI MULAI PULIH

rencana

APABILA EKONOMI MULAI PULIH

NAMPAKNYA keadaan ekonomi negara telah menampakkan tanda ‘kebah’ setelah beberapa bulan diserang ‘demam’. Harga-harga saham di pasaran saham kini telah menarik ramai pelabur untuk kembali semula setelah ‘berehat’ beberapa ketika dek pukulan harga saham yang menjunam. Nilai mata wang juga sekali gus semakin stabil. Keceriaan mula terpancar daripada wajah-wajah yang sekian lama sugul. Para pelabur mula mampu tersenyum. Dalam beberapa hari sahaja sejak harga saham mula naik, ramai yang mengaut keuntungan jangka pendek dengan membeli saham-saham dengan harga yang murah dan menjualnya apabila harganya meningkat. Ada yang untung ratusan atau ribuan ringgit, malahan jutaan ringgit, bergantung kepada latar belakang kewangan masing-masing. Namun di dalam keceriaan sesetengah pelabur, tidak kurang juga yang terus termenung, sugul dan tertekan akibat ‘pukulan’ kejatuhan saham beberapa bulan yang lepas. Apa tidaknya ada yang kerugian ratusan ringgit, ribuan, ratusan ribu, malah jutaan ringgit. Keadaannya sama saja antara yang untung dan yang rugi. Semuanya tertakluk kepada sebanyak mana wang yang dilaburkan. Jika yang melabur dengan jumlah tinggi dan wang yang diperoleh pula dengan cara membuat pinjaman melalui bank dan institusi kewangan, tentunya tekanan yang dirasai tidak dapat digambarkan. Pinjaman dibuat untuk membuat keuntungan, tetapi kerugian yang menimpa. Bukan itu sahaja ada yang terpaksa bergolok bergadai semata-mata untuk membereskan hutang-hutang yang tertunggak. Demikianlah senario di pasaran saham yang dapat dilihat di mana-mana sahaja di dunia ini. Kenaikan dan kejatuhan nilai banyak bergantung kepada spekulasi. Saya sempat berbincang dengan seorang teman yang juga seorang pensyarah yang kerugian lebih RM40,000 apabila harga saham merudum baru-baru ini. Apaabila saya katakan kepadanya bahawa ada sesetengah ulama mengharamkan transaksi yang berlandaskan kepada spekulasi iaitu di pasaran saham, beliau seratus peratus menyokong pendapat itu. Baginya, apa yang dialaminya jelas menunjukkan bahawa pasaran saham bukanlah pasaran perniagaan sebenar yang berasaskan kepada barangan bahkan banyak bergantung kepada spekulasi. Beliau kelihatan serik dan bertaubat tidak akan terlibat di dalam pasaran saham lagi. Namun, saya berpendapat bahawa jika beliau terus untung di dalam pelaburannya, saya tidak fikir beliau akan berpendapat sedemikian. Apa yang jelas, masalah yang menjadi perbincangan di sini bukanlah masalah halal haram pasaran saham, bahkan lebih kepada sikap kita apabila berhadapan dengan situasi begini. Ada orang yang begitu hampa, sedih, bingung dan jadi tidak karuan apabila harga saham jatuh dan mengalami kerugian tanpa menyedari bahawa sememangnya begitu adat berniaga, ada untung dan ada rugi. Kita seharusnya bersyukur apabila mendapat keuntungan dan bersabar apabila rugi. Ada juga yang telah bertahun-tahun mendapat keuntungan yang berterusan, namun apabila sekali kerugian, dunia ini terasa gelap dan seolah tidak lagi berpeluang untuk hidup di atas muka bumi ini.Sikap begini bukanlah sikap seorang Muslim yang sejati. Sebagai seorang Muslim, kita seharusnya merancang sesuatu dengan baik dan menerima setiap apa yang berlaku dengan hati yang sabar dan terbuka kerana kita yakin semua yang berlaku adalah ketetapan Allah belaka. Seperkara yang perlu juga kita renungkan apabila ekonomi mula pulih kini ialah tentang sikap kita. Kebanyakan daripada kita sedar apabila ekonomi kita ditimpa masalah, kita merasakan bahawa ini semua cubaan daripada Allah. Lantas ramai daripada kita termasuk para pemimpin menggesa orang ramai supaya menunaikan solat hajat supaya Allah Taala memberikan bantuan dan menjadikan keadaan ekonomi negara kita pulih seperti sediakala. Namun kita tidak seharusnya ingat akan Tuhan hanya semasa susah dan menderita dan lupa apabila berada di dalam kesenangan dan kemewahan. Sememangnya ini adalah di antara tabiat manusia yang digambarkan oleh Allah di dalam al-Quran: ”Apabila manusia ditimpa bencana, maka mereka berdoa kepada Tuhan dan bertaubat kepada-Nya. Tetapi apabila bencana itu ditukar kepada nikmat, mereka lupa apa yang telah mereka doakan kepada Tuhan sebelumnya, dan mereka menjadikan sekutu bagi Allah”. – Al-Zumar:8.

Hendaknya kita menjadi mukmin yang tidak leka dan alpa dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah. Kita seharusnya berhati-hati dan tidak mudah lupa diri meskipun kemewahan dan kesenangan melimpahi diri. Ini kerana segalanya itu adalah datang daripada Allah dan ia akan dipersoalkan di akhirat nanti. Jadikanlah segala yang berlaku sebagai pengajaran untuk kita terus melangkah menuju matlamat keredaan Ilahi.

Dr. Nik Rahim Nik Wajis ialah Bekas Penolong Profesor, Kulliyah Undang-undang UIA dan bekas Kolumnis Utusan Malaysia di dalam Ruangan Bicara Syariah.

Artikel ini telah disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 18/02/1998

Dr Nik Rahim Nik Wajis kini adalalah Pengarah Urusan, Syihab Excellence Agency Sdn Bhd (Perunding Kewangan & Perundangan Islam). Sila layari: www.syihab.com untuk maklumat lanjut.

 

Leave a comment